Selasa, 20 Mac 2012

Menghayati tamadun yang agung.

Atas apakah tamadun diukur dan dibina?. Apabila kita memperkatakan Islam yang bersifat tamadun ertinya diri Islam itu sendiri bertamadun. 

Menghayati Islam yang sebenar bererti menghayati tamadun keagungan. Sumber Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang menghayati dan beramal dengan sumber agung ini bererti dia mengamalkan Islam yang sebenar.

Sesiapa yang mengamalkan Islam yang sebenar bererti dia sedang menghayati tamadun yang agung. Kemunduran umat hari ialah kerana mereka menyimpang dari kedua sumber agung ini.

Kita tidak boleh untuk membina tamadun kegemilangan dengan membebaskan diri dari ikatan-ikatan Islam, kononnya kerana inginkan kemajuan dan keterampilan. Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan diri dari ikatan Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, maka tidak perlu kita membinanya atas nama Islam.

Jika inginkan ketamadunan dalam ertikata yang tidak difahami oleh Islam, Tamadun Barat sudah terbentang luas untuk kita menganutinya. Namun apabila kita ingin membina kemajuan dan ketamadunan atas nama Islam, maka kita mesti terikat dengan kehendak dan peraturan Islam.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Namun yang kita ingin tegaskan sejak dari awal bahawa hadarah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan.

Mementingkan kelazatan yang segera di dunia, maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya.

Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadarah al-Islam (Tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara ruh dan kebendaaan. Menseimbangkan antara akal dan hati. Menghimpunkan antara ilmu dan iman. Ia mengambil berat tentang ketinggian akhlak seperti ia mengambil berat tentang kemajuan kebendaan.

Ia sebenarnya tamadun keruhanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jamaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan pertengahan”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir).

Justeru itu, sesiapa yang ingin membicara tentang ketamadunan yang hendak dibina atas nama Islam hendaklah jelas di hadapannya panduan dan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Tamadun yang dibina dan diseru oleh kedua sumber agung adalah tamadun yang tulen lagi seimbang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan