Khamis, 26 April 2012

KERUNTUHAN AKHLAK REMAJA ISLAM


Keruntuhan akhlak remaja masa kini bukanlah sesuatu perkara yang baru kita dengar. Perkara ini sudah lama terjadi dah lebih membimbangkan melibatkan anak remaja islam kita sekarang. Pengaruh budaya dari luar negara serta kehidupan yang terlalu inginkan kebebasan membuatkan anak remaja kita hanyut dalam keseronokan dunia dan lebih memburukkan mengabaikan kehidupan akhirat.
Cuba kita pergi meninjau di pasaraya. Kita dapat melihat kebanyakan remaja yang melepak disitu adalah remaja melayu. Ada yang berseorangan, dan ada yang pula yang bersama pasangan. Merokok, menyakat orang yang lalu lalang, berpelukan dengan pasangan adalah perkara biasa yang remaja kita lakukan semasa melepak. Dimana maruah serta iman remaja kita pada masa sekarang. Alangkah baiknya sepuntung rokok yang berharga 60sen itu disedekahkan kepada masjid atau digunakan untuk tujuan berfaedah. Dan alangkah manisnya jika remaja melayu menjaga akhlak dengan tidak berpelukan dan bercumbuan di tempat awam.
Budaya Skinhead, Punk bukanlah sesuatu yang asing bagi kita pada masa dulu. Skinhead(soldier kingdom individual nationalism hate ego and drug), merupakan satu kumpulan yang berasal dari britian. Kumpulan ini berperwatakan kemas seperti memakai boot tetapi mempunyai rambut pendek(botak) atau dikenali sebagai bonehead. Manakala punk(public enemy not kingdom) pula mempunyai imej rambut terpacak atau dikenali sebagai ‘spiky hair’. Jika kita lihat teliti betul-betul prinsip kedua-dua kumpulan ini, ia mempunyai konsep dan visi yang lebih kurang sama iaitu free sex, drunk and fighting. Maka tidak hairanlah kita ada remaja melayu yang mencontohi kumpulan ini. Sehinggakan ada ketua yang dilantik bagi memimpin kumpulan ini. Ketuanya adalah remaja melayu kita sendiri yang mengamalkan prinsip seks bebas, bergaduh dan minum arak. Sehinggakan setiap ahli anggota mesti mematuhi prinsip-prinsip ini jika ingin kekal di dalam kumpulan itu. Dan lebih hebat, pertarungan akan berlaku diantara kedua dua kumpulan ini sekiranya berlaku salah faham. Sudah terang lagi bersuluh perkara ini menyimpang dari ajaran islam yang inginkan keharmonian, tiada sengketa sesama muslim, tidak minum arak, menjauhi zina kerana perkara ini boleh menjatuhkan maruah islam.
Selain itu, gejala seks bebas semakin ketara diperkatakan pada masa sekarang. Malahan mereka sama sekali tidak malu berpelukan di tempat awam atau di taman- taman. Rapuhnya iman serta kurangnya didikan agama membuatakan mereka lebih hina dari binatang. "Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." - Sahih Muslim . Hadis ini mengambarkan bagaimana manusia pada zaman sekarang bebas melakukan zina di merata-rata tempat sehinggakan mereka ini diibaratkan seperti keldai. Maka tidak hairanlah kenapa gejala pembuangan bayi semakin meningkat pada masa kini. Buang bayi semakin menjadi tabiat seperti buang sampah. Manusia sekarang seperti kembali kepada zaman jahil manusia terdahulu sebelum datangnya Rasulullah s.a.w membawa cahaya islam kepada mereka. Dah lebih teruk lagi, umat islam iaitu remaja melayu kita yang beragama islam melakukan perbuatan terkutuk ini. Si gadis terlalu percayakan si teruna dan kerana terlalu asyik bercinta mereka terlanjur sampai ke tahap paling keji iaitu zina. dan janganlah kamu hampiri zina, sesungguhnye zina itu perbuatan yg keji dan seburuk buruk jalan. Ayat al quran ini jelas membuktikan bahawa zina ini keji dan merupakan seburuk buruk jalan kerana banyak keburukan melalui perbuatan ini. Contonhya, semasa kita berpegangan tangan dengan yang bukan muhrim, hal itu dah jelas haram. Selepas itu berpelukan, berzina lagilah haram. Dan akhirnya lahirnya anak luar nikah. Kerana si lelaki tidak mahu bertanggungjawab maka si gadis pun membunuh bayi yang tidak berdosa itu. Sebab itulah ayt al-quran diatas mengambarkan mengapa zina merupakan perbuatan keji dah seburuk buruk jalan. Kita boleh lihat hal ini di dalam akhbar mahupun tv yang memaparkan bagaimana bayi-bayi tidak berdosa ini ada yang dibuang di dalam bakul sampah, disorok dalam tandas, dibuang di dalam longkang malah ada yang lebih hina dan keji adalah membakar mayat bayi itu. Dimana perikemanusiaan remaja muslimah kita sehinggakan perlakukan sebegitu rupa pada bayi mereka. Adakah mereka malu dengan bayi itu kerana bayi itu anak luar nikah, tapi mengapa mereka melakukan perbuatan terkutuk itu. Mengapa mereka tidak berfikir sebelum melakukan perbuatan itu. Kerana nafsu, manusia tewas dalam tipu daya syaitan. Alangkah sedihnya kita melihat anak gadis kita yang melakukan perbuatan ini, alangkah sedihnya Rasulullah s.a.w melihat umatnya pada akhir zaman ini. Dan ini merupakan salah satu petanda yang menyatakan bahawa kiamat itu semakin hampir.
Murtad atau lebih mudah kita fahami iaitu maksudnya keluar dari agama islam. Murtad dikalangan umat islam semakin menjadi jadi sekarang sehinggakan ada orang melayu hanya dalam kad pengenalannya sahaja menunjukkan islam tetapi identity sebenarnya murtad. Murtad bukanlah sesuatu perkara yang perlu kita pandang remeh kerana ini melibatkan maruah agama islam kita. Dan Allah s.w.t sama sekali umatnya mempersekutukannya. Dulu kita pernah digemparkan dengan isu Ayah Pin yang berlaku di jertih, Terengganu. Ayah Pin berjaya menggemparkan seluruh penduduk umat islam di Negara kita dengan mengaku bahawa dia adalah utusan akhir zaman. Dan lebih dasyhat lagi, beliau membina kerajaan beliau sendiri yang diberi nama kerajaan langit. Beliau telah mengubah hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dengan mengatakan bahawa sembahyang itu sah hanya dengan niat sahaja. Dan di dalam zikir itu, hendaklah disebut dengan nama Ayah Pin. Yang lebih menghairankan, beliau mempunyai pengikut yang ramai sehingga ada pengikutnya yang berpendidikan university al azhar. Adakah pengikut beliau tidak mengetahui bahawa Nabi Muhammad itu utusan akhir zaman. Adakah kerana kejahilan mereka terhadap agama, mereka mengangkat orang yang jahil menjadi pemimpin mereka. Dan yang terbaru iaitu kisah seorang gadis perempuan yang sudah murtad dan secara terang-terangan menghina Nabi Muhammad s.a.w, Allah s.w.t serta umat islam iaitu sitt hajjah al wazura. Gadis ini begitu berani menghina rasul dan tuhan kita. Tidak takutkah beliau akan azab Allah s.w.t.
Bulan Februari merupakan bulan yang ditunggu tunggu oleh remaja. Pernahkah anda berjalan-jalan pada bulan Februari di pusat beli-belah, kedai-kedai buku, atau ke mana-mana sahaja dan cuba perhatikan di sekeliling anda, di dinding-dinding atau langit-langit terpampang gambar warna merah jambu, ada yang berbentuk dua buah hati jambu dan sebagainya yang pastinya akan mengundang pelbagai perasaan dalam hati. Memangnya, ada apa dengan bulan Februari ini, sehinggakan banyak terpampang gambar hati merah jambu? Di antara meriahnya warna merah jambu terpampang tulisan besar-besar ‘Happy Valentine Day’, di televisyen dan radio, majalah mahupun akhbar juga seolah-olah tidak ingin ketinggalan menampilkan iklan Hari Valentine, memanfaatkan isu ‘valentine day’ dengan menyelenggarakan pelbagai acara yang kebanyakkannya boleh merosakkan akhlak muda mudi dan para remaja. Apa yang jelas, Valentine Day bukan saja diraikan oleh para remaja, tetapi juga oleh para ibu bapa terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur ini. Maka penuh sesaklah restoran-restoran mewah, hotel-hotel mewah dan ruang-ruang mewah dengan acara memperingati kekasih dengan cara yang di luar batas-batas kehendak Islam. Pandangan Islam terhadap perayaan Valentine Day telah jelas haram dan terkeluar dari syariat Islam. Juga jelas haram dan membelakangkan syariat Islam mengenai aktiviti para remaja yang ikut-ikutan merayakan ‘valentine day’ dengan membabi buta, disertai aktiviti campur baur antara lawan jenis, dan perbuatan maksiat lain. Islam adalah akidah dan syariah, di dalamnya terkandung aturan seluruh kehidupan manusia. Tidak ada satu pun kehidupan yang tidak diatur oleh Islam, dan setiap Muslim wajib ‘mengikat’ seluruh perbuatannya dengan hukum syarak, diharamkan ia melakukan perbuatan tanpa mengetahui status hukumnya, sebagaimana kaedah fekah, mengatakan ‘al aslu fi al af’al ataqiyudu li al hukmi syar’i’ yang bermaksud ‘Asal (pokok/hukum) perbuatan itu terikat dengan hukum-hukum syarak.’ Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (An-Nisa: 65)

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Maidah: 49). Jelaslah daripada ayat-ayat di atas, setiap Muslim wajib mengikatkan seluruh perbuatannya dengan apa yang Allah telah turunkan dalam al-Quran dan Sunnah, dan dilarang keras kita mengambil hukum selain dari hal tersebut. Tidak dijadikan akidah Islam sebagai ikatan pemutus seluruh perbuatan manusia dewasa ini merupakan faktor kenapa ramai remaja sekarang terperosok dalam perbuatan haram, di samping itu ketidakfahaman mereka terhadap hal tersebut, dan budaya ikut-ikutan memainkan peranan ini. ‘Berkasih-sayang’ versi Valentine ini, haruslah diketahui terlebih dahulu hukumnya, lalu diputuskan apakah akan dilaksanakan atau ditinggalkan. Dengan melihat dan memahami asal-usul serta fakta pelaksanaan Valentine Day, sebenarnya perayaan ini tidak ada sangkut-pautnya sedikit pun dengan corak hidup seorang muslim. Tradisi tanpa dasar ini lahir dan berkembang dari segolongan manusia (kaum/bangsa) yang hidup dengan corak yang sangat jauh berbeza dengan corak hidup berdasarkan syariat Islam yang agung. Jika kita fahami nas-nas syarak dengan lebih mendalam, akan kita dapati aturan yang tegas terhadap masalah ini, antara lain firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mengetahui tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta pertangggungjawaban.” (Al-Isra’: 36)’
Di sini amat jelas Valentine Day adalah budaya orang kafir, yang terang-terang kita dilarang untuk mengamalkannya. Dalam hal ini, kita dilarang menyerupai budaya yang lahir daripada peradaban kaum kafir, yang jelas bertentangan dengan akidah Islam, sementara yang boleh diambil daripada semua orang (termasuk kafir) adalah dalam masalah teknologi, budaya yang tidak lahir dari pandangan hidup mereka; seperti bahasa asing, menanam padi yang baik, membuat kapal terbang, komputer, kenderaan bermotor, kereta dan lain-lian lagi bahkan kita dituntut untuk mendalami ilmu-ilmu tersebut.Hal ini diperkuatkan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk daripada golongan mereka.” (Riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad daripada Ibnu  Umar) “Tidak termasuk golonganku orang-orang yang menyerupai selain golongan umatku (umat Islam).” (Riwayat Tirmidzi daripada Amru bin Syu’aib).Maka, sangat jelas kita tidak dibolehkan ‘tashabuh’, menyerupai, meniru-niru cara hidup orang kafir yang lahir dari pandangan hidupnya, sudah seharusnya kita tinggalkan semua budaya kufur tersebut jauh-jauh. Aktiviti muda-mudi ketika merayakan ‘valentine day’ juga banyak yang melanggar syarak, mereka melakukan aktiviti berdua-duaan/khalwat, antara berlainan jantina, saling bercumbuann, berpegangan tangan, kadang-kadang dilakukan secara ramai-ramai, bercampur gaul lelaki dan wanita yang bukan mahram, disertai dengan alunan muzik, saling rayu-merayu. Padahal sudah sangat jelas bahawa hukum asal kaum wanita dan lelaki adalah terpisah sebelum ada dalil / keperluan syarie yang menuntut bertemunya mereka, misalnya berniaga, bekerja, beribadah, menunaikan haji, solat, menikah, dan sebagainya. Itupun mereka harus memperhatikan syarat-syarat pergaulan / akhlak wanita berhubungan dengan lelaki, menutup aurat dengan memakai kerudung dan jilbab, tidak berdandan berlebihan, dan sebagainya. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa melakukan amalan yang tiada didasari perintahku (Quran dan Sunnah), maka amal perbuatannya tertolak.” (Riwayat Ahmad). Sesungguhnya, ikut merayakan hari ‘valentine’ adalah tindakan tercela, dan haram bagi kaum Muslimin untuk merayakannya. Valentine sendiri akar kemunculannya daripada orang kafir, Barat, lebih-lebih lagi kemunculan tersebut berasal daripada budaya Yahudi, maka sudah sepatutnya kaum muslimin wajar meninggalkan hal tersebut.
Dan akhir sekali adalah isu rempit. Mat rempit ini bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia remaja. Mat rempit sudah diperkenalkan sejak zaman dulu lagi. Kita boleh tahu ketika menonton filem Azura dan gila-gila remaja dimana watak mat rempit dilakonkan oleh Jamal Abdillah. Tetapi dulu mat rempit kurang terkenal berbanding sekarang. Sekarang mat rempit seperti virus di dalam komputer. Begitu cepat bertambah bilangan ahlinya. Sehinggakan budak-budak yang masih bersekolah seusia tingkatan 1 sudah mula berjinak dalam lumba haram. Tidak lengkap bagi jiwa seorang mat rempit sekirannya hanya mempunyai motor tetapi tiada awek dibelakangnya untuk ditunggangi. Oleh itu lahirlah minah-minah rempit yang menjadi taruhan bagi sang juara lumba motor. Bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya kes jenayah rogol, kecurian, samseng jalanan adalah berpunca dari aktiviti yang tidak bermoral ini. Contohnya, di dalam akhbar mahupun media elektronik melaporkan setiap minggu pasti ada kes kecurian motosikal. Bukanlah keseluruhan melibatkan mat rempit dalam kes kecurian ini, tapi ada segelintir mereka yang terlibat dalam aktiviti kecurian ini. Ini merupakan perkara yang perlu ditegah kerana ia melibatkan anak-anak generasi muda kita sekarang. Bagaimana sekirannya anak kita yang terlibat dalam kes lumba haram dan kecurian motor ini, dan sekiranya tertangkap oleh polis dan dipenjarakan, betapa gelapnya masa depan anak-anak remaja kita.
Oleh itu, semua pihak mestilah bergabung tenaga dalam memastikan remaja melayu, remaja muslim muslimah kita tidak terpengaruh dengan anasir-anasir jahat zionis yang ingin melihat umat islam berpecah belah dah kufur kepada Allah s.w.t. Kerana sesungguhnya kiamat itu pasti ada cuma masanya kita saja tidak mengetahui bila. Dan alangkah ruginya kita sekiranya kita tidak sempat bertaubat ketika kiamat itu tiba. Sesungguhnya kita tergolong dalam golongan-golongan yang rugi.


Rabu, 25 April 2012

KEPENTINGAN AGAMA DALAM PENDIDIKAN AKHLAK

Pendekatan Islam dalam pendidikan akhlak amat menekankan kepada penanaman aqidah atau rohani. Ini kerana, aqidah merupakan teras Islam yang utama. Kepentingan aqidah dalam Islam dapat dilihat menerusi nas-nas al-Quran dan Hadith yang banyak mengaitkan pembentukan akhlak dengan aqidah atau iman. Misalnya, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya” (Imam Ahmad, Juz 3, no. 7406) dan “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri” (Sahih Bukhari, Jilid 1,Bil. 10).Dalamhal ini Tunku SarahTunku Mohd. Jiwa menyebutkan sebagaimana dijelaskan olehAsmawati Suhid (2005), penerapan nilai akhlak bermula daripada intipati tauhid kepadaAllah s.w.t demi melahirkan insan soleh dan berakhlak. Beliau membuat kesimpulan bahawa pengajaran nilai akhlak yang berkesan akan berlaku apabila dikaitkan dengan kepercayaan kepada Tuhan. Begitu juga,menurutMohd. KamalHassan (1987) kuat atau lemahnya iman seseorang dapat diukur dan diketahui daripada perilaku akhlaknya. Iman yang kuat akan mewujudkan akhlak yang baik dan mulia,
sedangkan iman yang lemahmelahirkan akhlak yang buruk dan keji. Dengan kata lain, agama merupakan asas dalam pembentukan akhlakmanusia. Tanpa ikatan agama, suatu pendidikan akhlak itu tidak akan mantap dan kekal malah hanya bersifat sementara yang akhirnya membawa kepada kegagalan pendidikan akhlak. Tegasnya, pendidikan agama dipercayai berupaya mempengaruhi cara pemikiran anak-anak khususnya remaja dan seterusnya tingkah laku mereka. Oleh itu, orang yang berpendidikan agama lebih terarah untuk mengamalkan nilai akhlak Islam dan mengelakkan diri daripada perbuatan buruk (Asmawati Suhid 2005). Seperti yang dijelaskan oleh Sezali Din (1997), selain mempunyai ketahanan diri (mental dan fizikal) dan nilai atau harga diri, individu hendaklah memiliki pegangan agama yang kukuh dalam menghadapi
cabaran hidup. Kepentingan nilai agama dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia pula dijelaskan olehMahathirMohamad (1999) seperti berikut: Agama adalah masih relevan dalam masyarakat pelbagai agama seperti Malaysia. Tidak mengendahkan atau mengenepikannya adalah tidak bijak. Suatu masyarakat yang sepenuhnya sekular tidak boleh diwujudkan di Malaysia. Agama-agama rakyatnya mesti memainkan peranan mereka. Manakala dalam usaha pembanguna nmodal insan,Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi menerusi perutusannya di Hari Kemerdekaan pada 30 Ogos 2005, mengingatkan supaya pembangunan modal insan yang dilakukan hendaklah diseimbangkan dengan kemantapan rohani setiap rakyatnya: Untuk membangunkan modal insan, kita mahu memberi ilmu pengetahuan yang secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekerti mulia, yang mempunyai hemah yang tinggi, yang berjiwa besar, cintakan negara dan mereka mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. Maka jelas di sini, peranan agama dan aspek rohani tidak boleh diabaikan sama sekali dalam apa jua bentuk pendidikan akhlak dan moral. Pendidikan akhlak yang berteraskan aqidah dan nilai agama adalah lebih sempurna dan menjamin melahirkan insan yang berkualiti sesuai dengan tujuan penciptaan manusia iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud “Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk menyembah Ku” (Surah az-Zaariyat, ayat 56). Bagaimanapun, terdapat pelbagai fahaman yang menolak peranan agama dalam pendidikan nilai akhlakdan moral (Asmawati Suhid 2006).Misalnya, selain melemahkan pendidikan nilai agama, sekularisme meruntuhkan moral banyak manusia, dan akibatnya muncul pelbagai masalah dan gejala sosial yang kadang kalanya di luar dugaan orang yang rasional dan beriman. Menurut SulaimanNordin (1999), sekularis memerupakan kebudayaan Barat yang menular ke dalam alam fikiran dan budaya kebanyakan masyarakat kini. Ia mementingkan nilai yang tiada hubungan dengan alam rohani atau akhirat.Oleh itu, ia menghakis nilai moral atau akhlak umat manusia termasuk orang Islam. Ringkasnya, fahaman sekularisme adalah sangat asing dan bertentangan dengan cara hidup Islam yang bertunjangkan ‘aqidah kepadaAllah s.w.t. Begitu juga dengan fahaman-fahaman lain yang muncul seperti Humanisme, Liberalisme dan Empirisisme.

Jumaat, 13 April 2012



PERMASALAHAN QADA SOLAT BAGI YANG MENINGGALKAN SOLAT TANPA UZUR

بسم الله الرحمن الرحيم 

Keuzuran yang syar’ie yang membuatkan seseorang itu tidak berdosa ketika meninggalkan solat ialah gila, terlupa atau tertidur, dipaksa, sudah menunaikan solat secara jamak, ketakutan yang bersangatan kerana ancaman keadaan (seperti yang berlaku ketika peperangan khandak lihat dalam Bukhari no. 598).

Adapun selainnya baik lelaki dan perempuan yang berakal, Islam, serta telah baligh maka baginya kewajipan yang ditetapkan supaya mendirikan solat.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Bersabda rasulullah salallahualaihiwasa lam : “ Sesungguhnya antara (pembatas) seorang lelaki itu dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat” (hadith sahih riwayat Muslim no. 987, Abu Daud, Nasaie).

Perintah menunaikan solat ialah satu kewajipan sehingga bagi yang sakit tidak terlepas dari kewajipan menunaikannya selama mempunyai akal apabila Islam memberi kelonggaran supaya harusnya menunaikan solat dengan keadaan duduk, berbaring dan bahkan dengan gerak isyarat mata atau sehingga jika tidak mampu cukup dengan lintasan hati selama ianya masih sedar dan berakal.

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (At-taghabun :16).

Juga sekiranya tiada air demi bersuci dan berwudhuk maka Islam membolehkan bertayamum mengunakan debu tanah yang berada di sekeliling dunia.

“ Apabila kamu tidak menemui air maka bertayammumlah dengan debu tanah yang suci..” (Al-maidah : 43)

Perbuatan meninggalkan solat ialah dosa besar dan termasuk salah satu di antara dosa yang boleh membawa kufur kepada pelakunya. Sekiranya ada sesiapa yang meninggalkan solat kerana mengingkari kewajipannya dan membenci perbuatan solat yang merupakan ibadah ini dan menganggap menyusahkan maka ianya tanpa syak kufur dan murtad dari agama Islam dengan ijmak ulama (Al-Majmuk m/s 16 Jilid 3, Hukum Meninggalkan Solat oleh Ibn Qayyim).

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Adapun yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai kerana dunia dan dalam masa yang sama tidaklah menafikan kewajipan solat dan tidak pula bermaksud mengingkari perintah Allah maka baginya hukum fasiq dan munafiq namun masih tetap dianggap muslim dan dipelihara haknya sebagai muslim tetapi tetap wajar menerima hukuman dan teguran. Demikian mazhab As-Sauri , Abi Hanifah dan golongan Maliki serta Syafie dan Ahmad dari riwayat-riwayat lain yang darinya (lihat Mughni Muhtaj, Al-Majmuk dll).

Sekalipun mereka ini yang berpendapat tidak jatuh kafir bagi orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai namun para ulama ini tidak pula bermaksud mengambil pandang ringan kerana mereka tetap menetapkan perlaku dosa besar meninggalkan solat ini mesti dihukum dengan hukuman bunuh dan ini pendapat Maliki serta Syafie.

Adapun pendapat yang mengatakan mereka ini tidak dibunuh sebaliknya disebat dan dipenjara sehingga mati atau bertaubat nasuha dan ini pula ialah pendapat dari mazhab Az-Zuhri dan Ibn Musayyib serta Umar Ibn Abd Aziz dan Abu Hanifah dan Ibn Hazm.

Manakala sebahagian yang lain tetap mengkafirkan golongan ini yang meninggalkan solat tanpa uzur sekalipun tidak menolak kewajipan solat dengan menjatuhkan hukum kafir dan murtad dari Islam kerana meninggalkan solat yang merupakan rukun Islam dan mereka ialah mazhab Said ibn Jubair , Auzaie, Ibn Mubarak, Ishaq dan riwayat yang sahih dari Imam Ahmad dan salah satu qaul dari mazhab Syafie serta Ibn hazm dengan riwayat daripada Umar ibn Khatab , Muadz ibn Jabal dan Abd rahman ibn Auf serta Abi Hurairah dan selainnya dari sahabat rasulullah ra (lihat dalam Al-Insof, Majmuk Fatawa, Hukum Meninggalkan solat oleh Ibn Qayyim).

Pelbagai khilaf dan hujah serta dalil dalam masalah ini namun saya tidak berhajat memanjangkan bicara dalam masalah khilaf ini sebaliknya terus kepada isi pokok perbincangan iaitu tentang perihal qadha solat bagi yang meninggalkan solat tanpa uzur.

Ketahuilah baik salah satu diantara kedua kedudukan hukum golongan yang meninggalkan solat apakah kafir atau fasiq dan munafiq maka keduanya berdosa besar dan bukanlah ringan dan baik sebaliknya tercela dan dibenci dengan kemurkaan Allah swt.

Pendapat yang membolehkan dan mewajibkan qadha bagi yang meninggalkan solat ialah mazhab jumhur ulama daripada imam mazhab yang empat dan ianya dengan syarat hendaklah perlakunya yang meninggalkan solat tanpa uzur itu selain berqadha solatnya yang telah ditinggalkan maka hendaklah juga bertaubat dengan taubat nasuha atas dosa besarnya itu (lihat dalam Al-Majmuk, Al-Insof dll).

Bukanlah bermakna bolehnya qadha solat itu maka diri pembuat dosa boleh terselamat dan terampun dosa sebaliknya hanya usaha ikhtiar selain taubat nasuha bagi menebus kesalahan yang telah dilakukan.

Adapun pendapat selainnya yang mengatakan tiada qadha bagi solat yang ditinggalkan ialah pendapat Umar ibn Khattab dan ibn Umar serta Sa’ad ibn Abi Waqas dan Ibn Mas’ud ra, Ibn Sirrin , Ibn Hazm, dan juga pendapat daripada Syeikhul Islam ibn Taimiyyah ra serta jumlah besar dari salaf soleh yang lain.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Demikian jumlah besar menolak adanya qadha solat dengan dalil bahawa solat ini satu kewajipan yang dibuat hanya pada waktunya bukan diluar waktunya (lihat Al-Muhalla ibn Hazm, Majmuk Fatawa, Nailur Authar dll).

Dalam hal ini satu keputusan dapat diambil bahawa golongan yang menolak adanya qadha solat ialah kerana selain menetapkan solat dilaksanakan pada waktu khas dan jika selainnya tidak lagi dikira maka mereka juga mengkafirkan peninggal solat sehingga tiada guna menunaikan qadha lagi.

Keadaan ini dapat diselesaikan hanya apabila orang yang meninggalkan solat ini bertaubat dan kembali dengan taubat nasuha serta di sini mereka diwajibkan melakukan qadha.

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sersungguh-sungguh) moga tuhanmu akan menghapuskan dosa-dosa kamu …” (At-Tahrim : 8).

Maka bagi yang bertaubat dengan taubat nasuha maka hendaklah dia mengulangi segala solat yang telah ditinggalkan dengan melakukan solat pada waktunya dan memperbanyakkan solat-solat sunat.

Ini berdasarkan kepada hadith rasul yang menyebut : “Sesungguhnya yang paling awal akan dihisab di hari akhirat daripada amal perbuatan ialah solat dan sekiranya baik (solatnya) maka telah berjaya dan selamat dan sekiranya rosak (meninggalkan) solatnya maka gagal dan rugilah dia serta jika berkurang pahala dari solat wajibnya maka akan berkatalah tuhan yang Mulia dan tinggi : Lihatlah apakah hambaku ini ada melakukan solat sunat dan tampunglah apa yang kurang dari yang wajib dan kemudian jadikanlah seluruh amalannya seperti itu” (hadith sahih riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi dan Ibn Majah).

wallahualam

Selasa, 10 April 2012


Rahsia Jodoh Saya - Sebuah Cerpen



Melihat kebahagiaan manusia lain dengan apa adanya pada diri kita itu adalah sangat bahagia. Namun pada ketika melihat kebahagiaan orang lain dengan diam-diam melihat segala kekurangan diri sendiri, itu adalah muara segala kepedihan.
Di muara itu, pedih itu akan mengalir perlahan-lahan, lesu tapi pasti ke hulu hati. Dan inilah kisahnya, kisah bagaimana saya akhirnya menegadahkan wajah pada yang namanya bahagia yang pedih.
Tahun akhir.
Tahun terakhir di universiti menjadikan saya perempuan yang kurang terkendali. Tugasan akhir perlu dihantar, harapan ibu bapa juga perlu dijunjung, namun paling membuat saya terjerembap pada namanya pedih, adalah kata-kata mitos yang entah siapa menciptanya.
Kata mereka, "Sekiranya kamu sudah berada pada tahun akhir, tetapi kamu belum punya buah hati, kamu akan sulit mencari jodoh."
Saya tahu itu mitos, namun tetap sahaja ia mengganggu hati pada ketika mata mahu pejam. Ia seperti nyamuk yang lapar dan menyangka telinga kita adalah tempat meluahkan rasa laparnya.
Saya cuba sabarkan diri, cuba penuhkan waktu dengan segala jenis kesibukan yang saya tahu, namun tetap sahaja kata-kata mitos itu berdatangan masuk ke dalam hati. Jelas, hati saya masih ada celah-celah yang tidak saya ikat rapat-rapat, walaupun sudah segenap usaha saya mencuba.
Bertanya juga saya dalam hati, "Mengapa tidak ada yang mengutuskan surat cinta?"
Untuk pertanyaan itu sering saya jawab dengan penuh rasa rendah diri, "Saya bukan perempuan yang cantik."
Yang bertambah merisaukan saya adalah pada hari itu, pada ketika saya mahu menyedapkan hati, mahu berkata cinta sebelum nikah itu haram lalu saya bertanya kepada teman sebilik saya yang tinggi ilmunya.
"Kamu tidak fikir cinta sebelum nikah itu haram?"
Dalam tersenyum dia menjawab, "Bercinta tidak haram, yang haram adalah zina. Jadi sekiranya cinta kamu itu mendekatkan kamu kepada zina, kamu boleh fikirkan sendiri hukumnya, dan kamu sendiri tahu menyusun keutamaannya. Jangan salahkan cinta tetapi salahkan diri kamu sendiri. Nabi Muhammad saw sendiri tidak membantah orang bercinta tetapi cinta itu perlu berakhir dengan perkahwinan kerana hanya itu ubatnya cinta.
Seperti kisah seorang gadis yatim yang dipinang oleh dua lelaki. Seorang miskin dan seorang kaya. Gadis tadi memilih lelaki miskin tadi atas dasar cinta sedangkan penjaganya memilih lelaki kaya tadi. Apabila perkara itu diajukan kepada Rasulullah, beliau bersabda, 'Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah". Ini hadis sahih riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Majah."
Itu jawapan yang saya pegang bersama dengan runsing pada mitos yang saya tidak tahu di mana benarnya. Mujur juga, teman sebilik saya yang cantik, alim dan bijak itu tidak ada teman lelaki. Keadaan itu melegakan hati saya kerana saya tahu, saya tidak sendiri.
Yang paling melegakan saya adalah bicaranya. Katanya, "Jodoh, mati dan rezeki itu rahsia Allah. Yang namanya rahsia itu, sekiranya kita cari pun betul, sekiranya kita menunggu pun tidak salah kerana ia rahsia. Kita tidak tahu bila datangnya jodoh itu, sama ada ia datang pada waktu kita mencari ataupun pada waktu kita menunggu. Apa yang boleh kita lakukan adalah, lengkapkan diri kita menjadi perempuan yang baik. Perempuan yang taat pada suruhan Allah. Kerana ada waktunya nanti, Allah akan datangkan petunjuknya, sama ada kita perlu mencari ataupun kita perlu menunggu."
Lalu berdoa sahajalah yang dapat saya lakukan, dan akhirnya, seperti doa dalam diam saya dijawab Tuhan, dan pada hari itu saya menemukan lelaki ini, lelaki yang membuatkan mitos itu kabur daripada hati saya.
Lelaki.
Dia rakan sekuliah, dan dia seorang yang sangat tekun belajar dan dia cuma kalah tekunnya kepada rakan karibnya sendiri. Markah peperiksaan dia tidak pernah gagal mendapat B ke atas. Pada wajah dia, semua sepakat mengakui, jelas sinar kejayaan di situ. Saya juga melihat perkara itu dan saya akui dalam tidak sedar, hati saya mula terpaut kepada dia.
Namun, perempuan tetaplah perempuan. Malu itu adalah perkara nombor satu. Malahan dengan kacak wajah lelaki itu, saya sangat yakin, setidak-tidaknya dia sudah punya kekasih yang akan diajaknya bernikah usai menerima ijazah.
Itu yang saya yakin sehinggalah pada hari itu, selepas peperiksaan terakhir, pada ketika di luar dewan peperiksaan masih riuh dengan gelak tawa, dia datang kepada saya.
"Saya tidak pandai berkata-kata dan saya masih malu," ucap dia yang pertama, membuat saya terhairan-hairan.
"Jadi?"
"Begini, biar saya berterus-terang." Lelaki itu menggaru-garu dahinya yang saya tahu tidak gatal, tetapi gaya itu membuatkan saya semakin tertanya-tanya.
"Begini...." Pada ayat itu juga dia berhenti dan kembali tunduk.
Saya hanya melihat jam, dan apabila melihat saya begitu, wajahnya terlihat risau.
"Begini...."
"Apa yang begini?" soal saya segera.
"Begini, saya bertanya kepada ibu saya, bagaimana saya mahu mencari perempuan yang baik untuk saya nikahi. Ibu saya menjawab, saya tidak perlu risaukan berkenaan perkara itu. Perkara yang perlu saya risaukan adalah diri saya sendiri. Saya perlu menjadi lelaki yang baik dan pada ketika itu persoalan 'bagaimana mencari perempuan baik' akan selesai dengan sendirinya," jelas dia panjang.
"Jadi?" soal saya lagi dengan hati yang sudah berdegup kencang.
"Jadi, saya fikir, dalam empat tahun di sini saya sudah berusaha sebaik mungkin menjadi lelaki terbaik, dan saya fikir, lelaki yang baik bukan lelaki yang sekadar menanti jodohnya, tetapi adalah lelaki yang juga mencari, dan itulah yang saya mahu beritahu," jawab dia dengan tergagap-gagap.
Mendengarkan itu pipi saya menjadi merah. Apa maksud dia? Mengapa tiba-tiba dia berkata begitu kepada saya? Takkan dia.... Tiba-tiba saya berasa saya menjadi perempuan yang sangat bertuah.
"Jadi, saya minta tolong awak, tolong hantarkan surat ini kepada rakan sebilik awak," kata dia lalu menghulurkan surat bersampul biru muda kepada saya, dan terus rasa bertuah saya hilang entah ke mana, dan terus sahaja merah pipi saya bertambah hangat.
"Sebelum awak salah anggap, ia bukan surat cinta, tetapi ia adalah surat izin mahu berjumpa ayahnya. Jadi saya harap awak tidak anggap saya ini lelaki yang sekadar bermulut manis," jelas dia dengan bersungguh-sungguh.
Saya tahu, pedih saya sudah bermula. Teman yang membuatkan saya selesa itu juga sudah menerima surat cinta, dan saya? Tetapi saya tetap bahagia kerana teman baik saya itu mendapatkan lelaki yang mendengar kata-kata ibunya, lelaki yang cerah masa hadapannya. Saya bahagia tetapi tetap sahaja ia bahagia yang pedih.
Lalu pada ketika saya memberikan surat sampul biru muda kepada teman sebilik saya, dia berkata, "Sebenarnya, kamu juga mendapat surat yang sama daripada rakan karib lelaki itu. Kamu sangat bertuah." Lantas dia menghulurkan satu sampul surat putih kepada saya.
Pada sampul surat putih di tangan saya itu, saya tahu seperkara, apapun isinya, ia adalah petunjuk kepada rahsia jodoh saya.

Penyejuk Mata Dan Menjemput Bidadari



Buat kaum Adam, para muslimin, ikhwani yang dihormati, yang bakal menjemput bidadari sang ratu hati, dan yang sudah menjemput bidadarinya.
Juga buat kaum Hawa, para muslimat, yang bakal dijemput sebagai bidadari, dan yang sudah dijemput dan sedang melalui alam perkahwinan.
Sekalian manusia menginginkan perkahwinan yang bahagia, alam cinta yang indah. Tiada yang menginginkan perkahwinan yang penuh duka dan duri. Inginkan bahagia, maka hendaklah dituruti jalan yang betul, agar sampai ke destinasi bahagia. Apakah yang menjadikan satu perkahwinan itu bahagia? Apakah jalannya?
Mahligai cinta yang bahagia lagi berseri, ada harganya. Harganya, adalah persediaan dan usaha yang betul sebaik-baiknya, sehingga layak bagi kita untuk memiliki mahligai bahagia, kurniaan Allah s.w.t. Persediaan demi persediaan. Usaha demi usaha.
Apakah usaha-usaha yang perlu kita lakukan, apakah tindakan-tindakan yang perlu kita ambil? Ada beberapa perkara yang perlu kita teliti.
Asas dan Halatuju Mahligai Cinta
Antara aspek penting yang perlu kita beri perhatian. Asas dan halatuju mahligai yang dibina.
"Dan izinkan kujemput bidadari. Untuk bersama menuju-Mu mengisi hari."
Sedap dan indah didengar dan dilafaz. Namun lebih indah lagi, apabila usaha ke arah menujuNya dilakukan dan dilaksanakan. Asas dan halatuju cinta insani ialah cinta Ilahi. Apabila asasnya betul, asasnya kukuh, nescaya bahagia hadir mendamaikan kehidupan. Sekiranya asasnya rapuh, bahagia menjadi sesuatu yang amat sukar dimiliki, very elusive.
Dan semestinya, apabila bercinta, hendak bercinta sehingga ke syurga. Syurga akhirat, Jannatullah.
Firman Allah Ta'ala:
Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.
*Manusia di dunia ini baik disedarinya atau tidak adalah dalam perjalanan kepada Tuhannya. Dan tidak dapat tidak dia akan menemui Tuhannya untuk menerima pembalasanNya dari perbuatannya yang baik dan buruk.
Inilah halatuju mahligai cinta yang dibina. Cinta hingga ke syurga. Begin with the end in mind. Apabila betul dan tepat halatuju, disusuli dengan usaha dan amal yang bertepatan, disulami doa dan tawakkal kepada Maha Pemberi, nescaya mahligai cinta yang dibina bahagia, berkekalan dan berseri di bawah naungan redha dan rahmat Allah s.w.t.
Apakah usaha dan amal tersebut? Ia adalah usaha dan amal yang melayakkan kita kelak untuk menerima kitab amal dengan tangan kanan. Sama-sama kita renungkan.
Akhlaq Mulia
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Kaum mukminin yang paling sempurna perihal keimanannya ialah yang terbaik akhlaqnya antara mereka itu, dan yang terbaik antara kalian ialah yang terbaik akhlaqnya terhadap kaum wanitanya."
(Riwayat Imam Tirmidzi)
Akhlaq adalah satu aspek atau kriteria yang dinilai oleh ibubapa dalam pertimbangan mereka tentang sejauh mana anak mereka bersedia dalam menggalas tanggungjawab sebuah perkahwinan. Akhlaq diri yang terpuji mampu meyakinkan ibubapa untuk 'melepaskan' anda ke dunia lain yang lebih mencabar, iaitu perkahwinan.
Ia juga satu kriteria yang dinilai oleh bidadari yang ingin dijemput, dan ibubapa kepada bidadari itu.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Apabila datang (meminang) kepada kamu orang yang kamu redha agama dan akhlaqnya, maka hendaklah kamu mengahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi."
(HR Tirmidzi – Hadis Hasan Gharib)
Hadis ini, pelajaran kepada para ibubapa, juga yang bakal menjadi ibubapa kelak:
1.    Kriteria penilaian nombor satu untuk bakal menantu, adalah kriteria akhlaq mulia.
2.    Bukan bermakna kriteria harta, keturunan dan keindahan wajah tidak penting. Semua itu perlu dipertimbangkan, namun nombor satu adalah berakhlaq mulia.
3.    Didiklah putera-puteri kesayangan agar menjadi Muslim dan Muslimah yang berperibadi mulia dan indah.
Pelajaran buat yang bakal menjemput bidadari dan yang bakal dijemput, berusahalah hiasi diri dengan akhlaq indah dan mulia, mencontohi teladan utama kita Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a., dan daripada mereka yang mengalir keindahan akhlaq baginda s.a.w. pada diri mereka, dikalangan para ulama', murabbi, keluarga terdekat dan insan-insan yang soleh dan solehah.
Satu Amanah
Sabda Rasulullah s.a.w. , sebahagian daripada hadis yang panjang:
Maka bertaqwalah kalian kepada Allah dalam hubungan dengan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka (sebagai amanah) melalui perjanjian dengan Allah. (Riwayat Muslim)
Buat para muslimin dan para suami, beramallah dengan amal ahli syurga iaitu amal-amal soleh, dan jadikanlah isteri kita wanita syurga.
Buat para muslimat dan para isteri, taatilah suami kalian, selagimana halatujunya adalah redha dan syurga Allah.
Semoga redha Allah sentiasa bersama dengan kita.