Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian
alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga
serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari
kiamat.
Sahabat
yang dirahmati Allah,
Setiap
tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan
mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku
pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
Apabila
berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan
terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail
yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.
01.Israk yakni
perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke
Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
02.Mikraj ialah
perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah
diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang
bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang
telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al
Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah
Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya,
keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama
tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana
kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia
berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana
difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi
lailan" yang
bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam.
Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana
meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia
berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi
lailan" yang
bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana
Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan
tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa
ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya,
mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun
mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi
bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka
tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah
baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat
umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda
S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan
mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala
bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh
sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar
berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W
lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan
bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa
baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman
kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi
Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau
digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain itu,
pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan
manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa
bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali
sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik
peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sahabat
yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan
Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati
Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu
tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan
iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan
dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan,
didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam
perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari
Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang
perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat
Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan
bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan
bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah
(Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina,
iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham
(tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),
Dalam
perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit
dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat
ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut
adalah seperti berikut :
01.Kaum yang sedang
bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah)
yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku
berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang
berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700
kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
02.Tempat yang berbau
harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah
(tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk
bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh
Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun
sebagai Tuhan).
03.Sekumpulan orang
yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka
sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud
(sembahyang).
04.Sekumpulan orang
yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain.
Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari
neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan
zakat harta mereka.
05.Satu kaum, lelaki
dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada
di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina
sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
06.Lelaki yang
berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang
yang makan riba.
07.Lelaki yang
menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi
kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi
masih menerima amanah yang lain.
08.Satu kaum yang
sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali.
Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata
Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia
sendiri tidak melakukannya.
09.Kaum yang mencakar
muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang
yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela,
menghinakan) orang.
10.Seekor lembu
jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula
lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian
menyesal, tapi sudah terlambat.
11.Seorang perempuan
dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak
memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian
kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang perempuan
tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W
tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya
sampai ke tua.
13.Seorang perempuan
bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah
gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya
di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam
masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin
menjadi makmum.
Rasulullah
S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu.
Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat
pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan
menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke
Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan
Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke
atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke
langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat
orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang
rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada
susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga
langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya
A.S.
Di Langit Ketiga: Naik
langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu
dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik
tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh
kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu
dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala
(disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai,
termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk
langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang
bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah
S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah
pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah
untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman
syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim
A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka,
syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah,
iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA
LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca
setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah
melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke
dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas
Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di
sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok
itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu
lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar
menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua
keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat
menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya
baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur
'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya
tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di
Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT
dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah
dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu
dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau
telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar.
Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan
dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak
Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin,
manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan
izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang
mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu
sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran
kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu
sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari
kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan
kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah
sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan
Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu
panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah
panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu)
sembahyang.
Selesai
munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa
A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar
diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan
kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan
memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah
S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu
menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam
perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya
menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada
satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18
bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab
Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat
yang dikasihi,
Kesimpulannya,
Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang
diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk
kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani
perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan
Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya
memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut
kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya
peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar
kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai
kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam
(apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di
zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan
memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa
Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau
kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan
bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi
Wasallam.
Dengan kita
mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk
dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis
Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh
berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis
dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis
Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga
tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat
Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam
seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan
dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai
dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan