Harus
disedari bahawa umat Islam kini tidak hanya berhadapan dengan kesesatan
aliran-aliran yang cuba mempertemukan ajaran ketuhanan di dalam Islam dengan
pemikiran falsafah Yunani di bidang metafizikal sebagaimana yang telah berlaku
di zaman lalu.
Bahkan, kita kini sedang dihadapkan dengan aliran-aliran
yang berusaha menyelaraskan syariat Islam dengan falsafah dan pemikiran moden
yang muncul di barat pada zaman ini, yang muncul dalam bentuk teori dan
ideologi kemasyarakatan dari sudut politik dan ekonomi yang menolak ajaran
agama.
Oleh itu, perlu difahami bahawa kesesatan-kesesatan ini
tidak lagi muncul sebagai mazhab-mazhab ketuhanan, tetapi sebaliknya ia muncul
sebagai aliran-aliran politik yang memperjuangkan cita-cita kemasyarakatan
tertentu dalam bentuk pembinaan semula masyarakat di dalam semua aspeknya –
politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan – berasaskan kepada falsafah,
teori dan ideologi yang tertentu yang mengenepikan ajaran Islam dalam aspek
tersebut.
Jika dulu orientasi falsafahnya lebih memberi tumpuan
kepada masalah ketuhanan, bersifat spekulatif dan sebagai penjelasan
semata-mata kepada buah fikiran ahli falsafah, namun kini orientasi falsafahnya
memberikan kepada manusia suatu kefahaman yang menyeluruh mengenai pengalaman
hidup manusia di dunia ini dalam segala aspeknya menurut kaca mata kebendaan
dan keduniaan.
Maka, sebarang pendapat yang membenarkan ajaran-ajaran
teori dan falsafah sosial tersebut sebagai sebahagian daripada panduan yang
boleh diterima pakai oleh umat Islam, WAJIBlah ditolak. Tidak boleh sama sekali
ia dipakai sebagai asas dan titik tolak pemikiran, keilmuan, amalan atau
pembaharuan umat Islam dan lebih-lebih lagi sebagai ajaran yang boleh
diutamakan di atas mana-mana aspek dari ajaran al-Quran dan as-Sunnah.
Sesungguhnya kesedaran terhadap ancaman bahaya
fahaman-fahaman falsafah tersebut di zaman ini telah pun diperingatkan oleh
para ulamak Islam dahulu dan kini dari pelbagai lokasi di dunia. Antaranya
adalah :
Sheikh Dr. Yusof al-Qardhawi :
"Sesungguhnya aliran-aliran dan ideologi-ideologi itu
pada hakikatnya adalah suatu agama baru, agama-agama yang menolak isi kandungan
agama (samawi), tetapi mengambil bentuknya. Ia sesungguhnya mencaci segala apa
yang dibawa oleh agama dari perkara-perkara ghaib dan cara berfikir orang-orang
yang kuat beragama dan dari keimanan mereka yang kuat lagi membara, akan tetapi
dalam waktu yang sama ia mencedok semua ciri-ciri agama itu."
Maulanan Abu Hassan Ali an-Nadwi :
"Di kebanyakan negara orang-orang Islam hari ini, kita
akan dapati sebahagian besar daripada orang-orang yang memegang teraju
pemerintahan adalah terdiri daripada pemeluk ajaran baru ini, sungguhpun cara
mereka bertaklid pada ajaran tersebut agak berlainan. Boleh jadi antara mereka
ini yang mengaku beragama Islam tetapi dengan lisan sahaja, sedangkan perbuatan
mereka adalah dipengaruhi oleh falsafah kebendaan dari barat yang menjadi asas
penting bagi fahaman tidak bertuhan (mulhid)...yang anehnya, kemurtadan ini
tidak disedari oleh para ulamak Islam. Dengan lain perkataan, satu 'revolusi
dalam diam-diam' telah berlaku dikalangan umat Islam."
Prof. Dr. HAMKA :
"Ada pula yang mengakui bahawa ajaran dari ideologi
itu sesuai dengan Islam, mereka tinggal itu sendiri dan mereka pilih ajaran
lain itu. Padahal kalau mereka berfikir sehat, kalau memang ajaran lain
itu sebahagian yang sesuai dengan Islam, mengapa tidak Islam sahaja yang mereka
pertahankan? Dan itulah sebabnya maka terdapat kerap kali terdapat orang Islam
yang taat mengerjakan solat lima waktu padahal mereka mempertahankan
Nasionalisme yang sempit. Itu pun sebabnya, ada ulamak yang berpidato di muka
umum dengan mengemukakan beberapa ayat dan hadith Nabi untuk membela sosialisme
dan komunisme."
Hakikat ini perlu kita fahami dengan sebaiknya supaya dapat
menyelamatkan diri dan umat Islam daripada kepalsuan dan kesesatan pelbagai
teori tersebut yang juga didokong oleh sebahagian intelektual dan ahli politik
di negara-negara umat Islam kini.
Ancaman bahaya pelbagai pemikiran di zaman ini, dan dalam
keadaan umat Islam sendiri tidak mempunyai kefahaman dan keyakinan yang
benar-benar utuh terhadap Islam, menuntut kita semua untuk menghayati Islam
serta mempelajari dan memahami falsafah ideologi tersebut bagi menolak
kesesatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan